Friday, April 16, 2010

Hari semakin menghampiri

Telah lama cikgu Saffone tidak mencoretkan sesuatu dalam blog ini. Banyak masa dihabiskan dengan program sekolah dan pelbagai aktiviti sampingan lain. Line wireless pula tidak berapa bagus dalam sebulan ini. Tapi tidak mengapa. Hari ini cikgu Saffone berkesempatan untuk menulis sedikit..

Minggu ini merupakan minggu ke 7 cikgu Saffone menjalankan praktikal mengajar dan bermakna ada 7 minggu lagi tempoh megajar. Sedang cikgu Saffone telah mula mendapatkan rentak untuk mengajar, masa telah semakin menghampiri ke penamat. Tak terasa begitu pantas masa berlalu. Tapi akan cikgu Saffone lakukan yang terbaik demi melihat anak bangsa sendiri berjaya. Mereka perlukan bantuan untuk berjaya. Sebagai seorang guru, cikgu Saffone perlu berusaha kerana mungkin sekejap sahaja perkhidmatan ini, namun apa yang perlu cikgu tinggalkan untuk anak didik adalah menajdi tanggungjawab dan amanah cikgu. Jadi, cikgu Saffone perlu berusaha agar mereka juga berjaya. InsyaAllah.

Dan hari ini, seorang guru sekolah telah belanja kami semua makan dengan jamuan yang sungguh sedap. Terima kasih buat cikgu suraya. Semoga ada lagi cikgu yang nak belanja kami semua makan. Hmmmm...


Sunday, March 28, 2010

Minggu Kelima Sekolah

Sebelum ke sekolah pagi ini, Cikgu Saffone ingin mencoretkan sesuatu. Hari ini masuk minggu kelima persekolahan. Ini bermakna cikgu masih ada sembilan minggu sahaja untuk menyelesaikan apa yang sepatutnya cikgu selesaikan. Semoga bermula hari ini cikgu dapat terus memfokuskan kepada matlamat sebenar praktikal dan dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan baik. Sekejap sahaja masa berlalu dan hari terus berganti hari. Dalam lima minggu ini, cikgu Saffone mengambil kesempatan untuk menghisap diri apakah yang telah dilakukan sepanjang minggu yang telah berlalu. Banyak pengalaman yang telah cikgu dapat namun terlalu banyak lagi sebenarnya pengalaman dan pengajaran yang tertinggal.

Minggu-minggu yang masih ada ini, cikgu saffone perlu berusaha dengan sebaiknya untuk mendapatkan semaksimum mungkin pelajaran baharu. Semoga Allah memberi kekuatan dan ketabahan dalam diri ini untuk menimba sedikit pengalaman dan pengajaran yang berguna daripada sekolah. InsyaAllah. Ini kerana cikgu saffone percaya, jika kita tidak berusaha, tak akan ada hasil apa pun yang diperolehi. Biar usaha dengan susah payah, namun hasilnya berpanjangan. Jangan kita mudah-mudah mendapat kejayaan, namun akhirnya luput di tengah jalan.

Semoga apa yang dicoretkan di sini akan memberi peransang kepada cikgu saffone. InsyaAllah.

Sunday, March 21, 2010

Sekitar suka-suka di Sungai Congkak


Ini adalah gambar sepanjang Cikgu Saffone dan kawan-kawan suka-suka di Sungai Congkak...memang sangat best...walaupun akhirnya balik dalam keadaan basah...mana tak nya..hujan di tengah jalan...tapi sempat juga lepak kedai sambil minum dan melahapkan cendol...boleh tahan juga...maklumlah kedahagaan melampau...tapi suka-suka ni memang sangat seronok...terima kasih kepada kawan-kawan yang bawak makanan..bihun goreng, cendawan goreng, sandwich. Dan untuk pengalaman pertama kalinya, makan ayam BBQ yang warna keemasan..memang sangat sedap...resepi nie boleh dikormersialkan...Tetapi inilah keindahan dan keseronokan bila bersama kawan-kawan...ada masa kita suka-suka lagi yer..gambar lain akan menyusul kemudian kerana mengalami masalah teknikal..terima kasih

Saturday, March 20, 2010

Suka-suka di Sungai Congkak


Hari ini Cikgu Saffone dan kawan-kawan daripada Kelab Al-Biruni UPM akan bersuka-suka sambil berkhelah di Sungai Congkak. Sudah lama tidak bersama mereka dan berborak. Di kala cuti sekolah masuk hari yang terakhir hari ini, ini adalah peluang terbaik untuk bersama kawan-kawan kerana selepas ini, Cikgu Saffone akan fokus kepada sekolah pula. Semoga keindahan alam di Sungai Congkak akan membei inspirasi kepada Cikgu Saffone untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini. InsyaAllah.

Gambar-gambar kenangan akan menyusul selepas ini. Nantikan saat-sat manis tersebut. Doakan Cikgu Saffone dan kawan-kawan selamat tiba dan selamat bersuka-suka di sana. InsyaAllah

Makan untuk beribadat kepada Allah



"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan (makanan) yang baik-baik, yang telah dihalalkan Allah (memakannya) dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang malampaui batas. Al-Maidah: 87"

Janganlah kamu haramkan makanan yang baik-baik yang telah dihalalkan Allah untukmu, tetapi janganlah berlebih-lebihan (melampaui batas). Maka, halal bagi kita makan makanan yang lazat rasanya seperti daging lembu, ayam, telur dan sebagainya, tetapi jangan terlalu kenyang. Sebab itu, kita tidak boleh meninggalkan makanan yang lazat kerana beribadat kepada Allah. Begitu juga tidak boleh mengharamkan perhiasan-perhiasan, seperti pakaian yang cantik, perkakas rumah yang indah dan sebagainya, bahkan semuanya halal, kecuali yang ada nas mengharamkannya seperti daging babi, minum arak dan sebagainya. Sebab itu, dalam Islam kita tidak boleh menyeksa diri atau mengabaikan jasmani untuk kepentingan rohani, kerana manusia terdiri daripada jasad dan roh.

Bersabda Nabi Muhammad saw: Berpuasalah dan berbukalah (jangan terus menerus berpuasa), sembahyanglah dan tidurlah, kerana tubuhmu mempunyai hak, isterimu mempunyai hak,tetamumu mempunyai hak.

Pendek kata meninggalkan yang baik dan perhiasan serta menyeksa diri untuk beribadat bukan ajaran Islam.

Cikgu Saffone mengajak diri ini dan pembaca sekalian untuk muhasabah diri bersama dan berusaha ke arah yang lebih baik. InsyaAllah.

Friday, March 19, 2010

Tazkirah pada hari ini

"Dan mereka menyangka, bahwa tidak akan ada seksa, sebab itu mereka buta dan tuli, kemudian Allah menerima taubat mereka, kemudian kebanyakan mereka menjadi buta dan tuli lagi. Dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan." Al-Maidah: 71

Apakah yang kita fahami daripada ayat di atas? Ayat ini ditujukan kepada bangsa israel namun kita sebagai umat Islam dan hamba Allah, juga boleh mengambil pengajaran daripada ayat ini. Kita selalu terpesona dengan dunia hingga kadang-kadang (malah kebiasaannya) mengingkari perintah Allah. Kemudian, kita menginsafi setiap perbuatan buruk kita. Dan Allah Maha Pengampun. Setiap perbuatan buruk kita, jika kita mohon keampunan Allah dengan sebenar-sebarnya, InsyaAllah akan diampunkan Allah. Tetapi setelah kita sedar dalam beberapa ketika, kita mengulangi perbuatan dosa tersebut. Bukan kita tidak tahu ia adalah satu dosa, namun kita masih nak melakukannya. Kita sengaja mentulikan telinga dan membutakan mata. MasyaAllah. Entah apa balasan yang kita akan terima di akhirat nanti. Sebagai manusia yang terlalu lemah iman ini, Cikgu Saffone mengajak diri ini dan pembaca semua untuk muhasabah diri dan menginsafi segala perbuatan dosa yang kita lakukan. Semoga setiap hari yang kita lalui dan pinjaman nyawa yang sementara yang Allah berikan kepada kita, akan kita lakukan yang terbaik untuk kehidupan yang lebih kekal abadi di akhirat kelak. InsyaAllah

Melayu mudah lupa

Sebuah sajak yang disampaikan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamed yang boleh dijadikan inspirasi dan garis panduan kepada kita semua tentang erti perjuangan ke arah kejayaan. Cikgu Saffone mengajak semua pembaca blog ini untuk menghayati seterusnya berfikir dan melaksanakan demi kelangsungan bangsa dan diri sendiri ke arah kegemilangan. InsyaAllah

Bercuti sekolah ke Kota Tinggi



Salam pertemuan lagi. Minggu ini merupakan cuti sekolah selama seminggu. Jadual Cikgu Saffone sangat padat ketika cuti ini. Percutian ini sungguh menyeronokkan walaupun penat. Cuti kali ini, Cikgu Saffone telah melancong sambil melaksanakan kajian di sekitar Kota Tinggi dan Desaru. Sungguh indah pemandangan disini dan ini juga merupakan pengalaman pertama Cikgu Saffone berjalan-jalan di Kota Tinggi. Kehadiran Cikgu Saffone dan kawan-kawan di Felda Semenchu dan Felda Lok Heng disambut dengan senyuman manis oleh penduduk kampung. Teruja kami berada di sana kerana kecantikan kampung dan kebersihan yang diamalkan. Kehidupan di felda bagi Cikgu Saffone sangat menyeronokkan. Mereka disediakan dengan pelbagai kemudahan yang lengkap. Ditambah pula dengan keseronokan bersiar-siar sambil makan mee bandung di Desaru. Indah sunggu pemamdangan di sini disamping kesejukan dan desiran angin yang menyamankan. Cikgu Saffone juga berpeluang berjumpa dengan abang dan keluarga di Pontian. Cuti sekolah kali ini sangat menyeronokkan.

Friday, March 12, 2010

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SMK Seksyen 11

Hari ini bertempat di SMK Seksyen 11, Shah Alam telah diadakan Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. Program dimulakan dengan perarakan pelajar dan guru sambil berselawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan Al-Quran, persembahan nasyid dan ceramah oleh Yang Berbahagia Ustaz Uda b. Kassim. Sepanjang minggu ini juga, diadakan pertandingan sajak dan syair serta pertandingan menulis khat. Sesungguhnya, program yang dijalankan ini sedikit sebanyak dapat menerapkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah. InsyaAllah

Sunday, March 7, 2010

Program Academic Empowerment 2010

Pada 5-7 Mac 2010, Cikgu Saffone telah bersama-sama pelajar UPM dan Kelab Al-Biruni, menjayakan program Academic Empowerment bertempat di Pusat Penyelidikan Sains Marin UPM, Port Dikcson. Tahniah kepada Pengarah program saudara Mohd Alif Syafiq Mohd Saufi kerana kejayaan penganjuran program ini. Cikgu Saffone percaya banyak masa dan tenaga yang dikorbankan oleh beliau untuk menjayakan program ini. Kepada semua fasilitator juga dan rakan sejawat saya Cikgu Johari. Dan kepada semua peserta yang mahu dan ingin berubah ke arah kejayaan. InsyaAllah. Program ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Objektif program yang dirangka telah tercapai dan sekarang adalah bergantung kepada penerima sahaja untuk mengaplikasikannya.

Sesungguhnya kepenatan yang Cikgu Saffone alami telah dibayar dengan kegembiraan oleh Allah swt dan ketika ini, cikgu Saffone percaya bahawa setiap peserta yang hadir telah berjaya. Seperti amanat Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor (HEPA), tugas utama pelajar adalah belajar. Ambil masa setiap hari lima minit untuk berfikir secara konsisten tentang kehidupan ini. Belajar mempunyai skop dan makna yang meluas. Teruskan berusaha dan kejayaan pasti milik kita semua. InsyaAllah. Salam sayang daripada Cikgu Saffone untuk semua.

Monday, March 1, 2010

Gambar sekitar Bengkel Ko-Kaunselor Kepimpinan Muda 2010





Program Academic Empowerment 2010


Salam 1Malaysia. Di sini Cikgu Saffone ingin mempromosikan satu program khas yang akan dijalankan oleh Kelab Al-Biruni UPM. Program ini disasarkan kepada pelajar Melayu UPM yang memperolehi PNGK 3.000 dan ke bawah untuk dibantu dalam pencapaian akademik. Program ini akan dijalankan pada 5-7 Mac 2010 bertempat di Pusat Penyelidikan Marin, Port Dickson. Kepada yang berminat, boleh berhubung dengan pengarah ditalian 012-9834262 sebelum 3 Mac 2010. Bantulah diri ke arah kejayaan kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali mereka sendiri yang berusaha untuk berubah. InsyaAllah. Cikgu Saffone akan bersama dalam program ini.

Sunday, February 28, 2010

Kejayaan diri

Hari ini Cikgu Saffone akan berkongsi mengenai kejayaan. Apa yang kita faham tentang kejayaan? Kejayaan ada banyak dan pelbagai. Bagi mereka yang buat baik, setelah berjaya, ia satu kejayaan. Bagi yang buat jahat, setelah berjaya, ia juga kejayaan. Yang mana satu pilihan anda? Yang baik atau yang jahat? Apa pun yang anda fikir dan mahu lakukan, ia bergantung kepada anda sendiri. Tetapi bagi Cikgu Saffone, kejayaan hanya kepada perkara baik yang kita lakukan kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Dan bagaimana ingin berjaya? Di sini, Cikgu Saffone memberi sedikit tips yang boleh diaplikasikan. Antaranya ialah:
  1. Sentiasa berfikiran positif untuk berjaya
  2. Jika gagal sekali, bukan bermakna kita telah gagal tetapi ia adalah permulaan kepada kejayaan
  3. Jadikan cabaran sebagai momentum untuk menggerakkan kita ke hadapan
  4. Sentiasa refkelsi diri untuk penambahbaikkan
  5. Jangan mudah berputus asa
  6. Berusaha kuat dan teruskan berusaha
Dilain masa, Cikgu Saffone akan berkongsi lagi. Semoga tips yang diberikan akan meransang anda semua untuk lakukan yang terbaik demi kejayaan dalam bidang apa jua yang anda ceburi. Cikgu Saffone sentiasa mendoakan kejayaan dan kecemerlangan anda semua. InsyaAllah.

Bengkel Ko-Kaunselor Kepimpinan Muda 2010

Pada 27-28 Februari 2010, Cikgu Saffone telah menghadiri bengkel ko-kaunselor yang dianjurkan oleh Yayasan Nurul Yaqeen dengan kerjasama Kelab Al-Biruni bertempat di Gunung Ledang Resort, Johor. Suatu pengalaman program yang sangat menyeronokkan. Sebagai guru kaunseling yang baru berkhidmat dengan pelajar, Cikgu Saffone sangat berterima kasih kepada yayasan kerana peluang yang ada ini telah memberi ruang kepada Cikgu Saffone untuk "refresh" kembali ilmu kaunseling yang dipelajari. Lebih menyeronokkan apabila peserta dan urusetia semuanya sporting belaka. Dikesempatan ini, Cikgu Saffone ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat dalam bengkel ini. Keikhlasan niat untuk mempelajari ilmu baharu, InsyaAllah akan diberkati Allah. Gambar-gambar bengkel akan menyusul kemudian.

Friday, February 26, 2010

Sepak Mula Piala Sumbangsih 2010

Pada 27 Februari 2010, bertempat di Sekolah Rendah Seksyen 9, Shah Alam, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11, Shah Alam mewakili Selangor akan memulakan sepak mula Piala Sumbangsih yang akan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Malaysia. Semoga pasukan SMK Seksyen 11 yang mewakili negeri Selangor akan memperolehi kemenangan bergaya seterusnya bergelar juara. Cikgu Saffone mengucapakan selamat berjaya dan lakukan yang terbaik terutama untuk diri sendiri, pasukan, sekolah dan negeri. Semoga kejayaan anda semua akan menjadi peransang kepada kejayaan warga sekolah yang lain. InsyaAllah. Do the best!!

Thursday, February 25, 2010

Selamat Menyambut Maulidur Rasul


Tanggal setiap 12 Rabiul awal setiap tahun, umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan pelbagai upacara sempena menyambut kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW. Di Malaysia, kita umumnya akan mengadakan perarakan yang disertai dengan selawat ke atas Nabi, ceramah memperingati perjuangan Nabi, Marhaban dan pelbagai lagi demi menunjukkan kecintaan kita kepada Junjungan Nabi SAW. Kerinduan kepada Baginda sukar untuk digambarkan kerana Baginda merupakan utusan Allah dan Nabi akhir zaman. Dikesempatan ini, saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut maulid nabi dan bersama-sama memperbetulkan niat agar segala perbuatan kita diredhai Allah. InsyaAllah

Tuesday, February 23, 2010

Membina Keikhlasan Diri

Ikhlas memang senang untuk diucapkan namun payah untuk dilaksanakan. Keikhlasan yang lahir daripada hati tidak akan diselubugi oleh rasa riak, sombong, bongkak, tetapi rasa kasih, rindu, sayang dan menghargai. Peluang mendidik anak bangsa adalah satu perjuangan kepada keikhlasan. Hanya yang ikhlas akan berjaya membentuk, membina, mencorak dan diterima corakan yang diberi. Penerimaan daripada yang diajar adalah lebih mustahak daripada apa yang dilakukan oleh si pengajar. Kerja yang nampaknya mudah tetapi sebenarnya penuh dengan dugaan kerana tugasan untuk membentuk generasi masa depan negara adalah satu amanah yang sangat berat. Kini kusedar peranan dan tugas seorang guru adalah lebih daripada segala-galanya.